Thursday, March 22, 2007

KANSER - CEGAH DARI RAWAT

Apabila menyebut “kanser”, pesakitnya pasti hanya terbayang kematian terutama di kalangan mereka yang disahkan sudah ke tahap lanjutan rawatan standard seperti kimoterapi atau radioterapi. Pada peringkat itu, kebanyakan pesakit pasrah dengan dugaan menimpa dirinya dan tidak kurang ada yang berputus asa terhadap kehidupan dilalui. Namun, tidak semestinya apa yang dijangka akan berlaku kerana pada akhirnya, Yang Maha Esa saja berkuasa menentukan ajal maut setiap individu.Pengurus Jabatan Onkologi Psikososial, Pusat Kanser Negara, Singapura, Gilbert Fan, berkata, tanggapan salah pesakit kanser terhadap kehidupan mereka menyebabkan hidup pesakit sering murung. Beliau berkata, masih ramai beranggapan kanser sama maknanya dengan kematian dan salah anggap ini menyebabkan sesetengah pesakit mudah terpengaruh dengan pemikiran negatif hingga menjadikan mereka tidak bersemangat meneruskan hidup.

“Sebenarnya, jika pesakit memandang penyakit ini dari sudut positif ia membantu pesakit melawan kanser dalam badan. Disebabkan itu, sokongan moral dari keluarga dan sahabat sangat membantu,” katanya .Beliau menyambung lagi, pesakit kanser yang dapat bertahan lama kebanyakan mendapat sokongan keluarga dan mengikut nasihat doktor selain tidak memikirkan bahawa mereka menghidap penyakit berkenaan.“Kita tidak mahu mereka memikirkan sangat yang mereka di ambang maut kerana kemerosotan semangat bakal memberikan kesan sangat besar pada tubuh pesakit.

“Selain perlu kekuatan, pesakit perlu mengikut aturan diet bersesuaian. Jangan anggap apabila menghidap kanser boleh makan apa saja, sebaliknya perlu mengikut jenis dan kuantiti bersesuaian dengan tubuh,” katanya.Beliau berkata, pesakit tidak perlu malu dan jangan sesekali menghadkan pergaulan hanya kerana mereka mempunyai penyakit. Apa pun penyakit, ia bukan pengakhiran kepada hidup anda dan berjuanglah selagi termampu, paling penting sentiasa memandang positif segala perkara.

No comments: